PETALING JAYA: Produktiviti buruh per jam bekerja di Malaysia mencatat peningkatan kukuh sebanyak 3.8 peratus pada suku ketiga 2025, mencecah RM45.10 sejam, menurut laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pertumbuhan itu didorong oleh perkembangan ekonomi negara yang berkembang 5.2 peratus, selain jumlah jam bekerja yang bertambah kepada 9.8 bilion jam.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah tenaga kerja meningkat kepada 17 juta orang, sekali gus menyumbang kepada kenaikan produktiviti buruh per pekerja sebanyak 3.6 peratus kepada RM26,052 seorang.
“Pasaran buruh terus stabil dengan peningkatan tenaga kerja dan nilai tambah ekonomi yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semua sektor utama mencatat pertumbuhan produktiviti per jam bekerja dengan sektor pembinaan merekodkan lonjakan tertinggi sebanyak 10.2 peratus.
Sektor perlombongan dan pengkuarian melonjak 9.7 peratus, manakala pembuatan dan perkhidmatan masing-masing berkembang 4.2 peratus dan 2.9 peratus.
Dalam sektor perkhidmatan, hampir semua subsektor menunjukkan peningkatan kecuali kewangan dan insurans serta utiliti.
Perkhidmatan lain mencatat pertumbuhan tertinggi 5.6 peratus, diikuti hartanah dan perkhidmatan perniagaan 5.5 peratus serta makanan, minuman dan penginapan 5.4 peratus.
Sektor pembuatan turut merekodkan pertumbuhan positif dalam hampir semua subsektor kecuali tekstil, pakaian dan kulit.
Peningkatan tertinggi disumbang oleh subsektor minyak dan lemak serta makanan proses yang meningkat 9.4 peratus, selain produk elektrik dan elektronik yang berkembang 6.6 peratus.
Produktiviti buruh per pekerja juga meningkat di kebanyakan sektor dengan pembinaan mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 10.8 peratus, diikuti pembuatan, perkhidmatan dan pertanian walaupun pada kadar lebih sederhana.
Menurut Uzir, prospek produktiviti buruh kekal positif dipacu kestabilan ekonomi serta pembaharuan pasaran kerja.
“Pelaburan dalam transformasi digital, komunikasi dan analitik perlu diteruskan kerana pembangunan kemahiran dan teknologi menjadi pemacu utama produktiviti masa depan,” katanya.
Malaysia turut mencatat sejarah apabila menduduki tangga pertama dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, satu lonjakan besar berbanding kedudukan ke-67 sebelum ini.
Pencapaian itu disokong oleh penggunaan platform OpenDOSM NextGen sebagai pusat akses data nasional, sekali gus menegaskan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam keterbukaan dan kecekapan data di peringkat global.








