Program Jualan Tong Gas Subsidi di Segamat bantu penduduk menjelang Aidilfitri

SEGAMAT: Menjelang sambutan Aidilfitri, Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran, sekali lagi menunjukkan komitmen dan keprihatinan terhadap rakyat dengan menganjurkan Program Jualan Subsidi Tong Gas Memasak Siri 2/2025.

Inisiatif itu diadakan bagi membantu meringankan beban penduduk dalam membuat persiapan perayaan.

Bertempat di belakang Masjid Jamek Gemereh, Jalan Muar, Yuneswaran berkata, program itu mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, meskipun cuaca tidak menentu.

“Lokasi Kampung Gemereh, yang merupakan kawasan komuniti Melayu yang ramai, dipilih untuk kali ini.

“Sebanyak 300 tong gas memasak bersaiz 14 kilogram (kg) ditawarkan pada harga RM10 sahaja, jauh lebih rendah berbanding harga asal RM26.60.

“Saya menampung sebahagian besar kos agar lebih ramai dapat menikmati subsidi ini,” katanya.

Ujarnya, seramai 153 penerima telah mendaftar awal, manakala 147 lagi hadir secara ‘walk-in’ untuk mendapatkan tong gas pada harga istimewa itu.

Tambah beliau, program itu turut melibatkan anggota RELA serta sukarelawan dari KRT Taman Bunga Raya dan Taman Gemereh yang menguruskan proses pendaftaran dan memastikan kelancaran program.

Katanya, konsep pandu lalu turut diperkenalkan bagi memudahkan agihan dan meminimakan kesesakan.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam memastikan program ini berjalan lancar.

“Semoga usaha kecil ini membawa kegembiraan kepada semua,” ujar Yuneswaran dengan penuh harapan.

Anda Mungkin Berminat