Oleh: Syahirah Harish
PETALING JAYA: Program TNB Genco untuk membangunkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir dengan kerjasama Terengganu Incorporated Sdn Bhd ditangguhkan susulan situasi banjir yang semakin kritikal di Terengganu.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dibuat untuk memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang terkesan akibat bencana tersebut.
“Melihat kepada keadaan banjir yang meruncing di Terengganu, saya mengambil keputusan untuk menangguhkan program ini.
“Fokus kini adalah memastikan kebajikan mangsa banjir diuruskan sebaiknya,” katanya selepas pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu di Parlimen hari ini.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memberikan sokongan kepada mangsa yang terjejas serta mendoakan ketabahan mereka dalam menghadapi musibah ini.
Banjir di Terengganu, yang turut melanda beberapa negeri lain, telah menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dengan kerjasama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) akan mewujudkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang dijangka menjana sehingga 2,000 megawatt (MW) tenaga elektrik.
Dalam tempoh enam bulan akan datang, sebanyak 400 MW tenaga elektrik akan dihasilkan dengan kos RM2 bilion bertujuan meningkatkan pendapatan baharu negeri.
Baca juga:







