Program MADANI Rakyat 2025 Melaka bermula, tonjol semangat pertahanan negara

JASIN: Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka membuka tirai hari ini dengan pelbagai aktiviti menarik melibatkan komuniti, pameran agensi kerajaan dan demonstrasi ketenteraan.

Bertemakan “Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara”, program selama tiga hari di Politeknik Merlimau, Jasin ini dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan kerajaan negeri Melaka sebagai penganjur bersama.

Edisi kali ini menarik perhatian dengan pameran aset dan peralatan ketenteraan yang memberi peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat keupayaan pertahanan negara serta memahami konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) berasaskan semangat mempertahankan tanah air melalui pendekatan “keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat”.

Antara pengisian utama ialah demonstrasi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk persembahan anjing perang, kawad senyap, drumline, aksi terjun bebas, gun in action, lintas hormat pesawat Hawk serta demonstrasi tempur tanpa senjata.

Selain pameran ketenteraan, pelbagai perkhidmatan langsung turut ditawarkan oleh agensi Persekutuan dan negeri seperti Jualan MADANI, Jualan Agro, program penukaran minyak enjin motosikal, penukaran topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta khidmat gunting rambut percuma.

Di pentas utama, pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan termasuk Mari Berselawat Bersama Raihan, persembahan murid Gema Perpaduan Generasi MADANI, peragaan busana ketenteraan serta Konsert Rock Kapak menampilkan Datuk Ramli Sarip, Black Mentor, Akim dan Stacy.

Turut diadakan Pocket Talk oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertajuk Kempen Internet Sihat, selain sesi Terokai Peluang Peningkatan Kemahiran dan Laluan Kerjaya Baharu di platform MyMAHIR bagi membantu pengunjung meneroka peluang kerjaya serta pembangunan kemahiran baharu.

Program ini berlangsung dari 9 pagi hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu, serta 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad, memberi ruang kepada kementerian dan agensi kerajaan mempamerkan inisiatif digital masing-masing serta berinteraksi secara langsung dengan rakyat.

Kemuncak program dijadualkan pada Ahad (19 Okt) menerusi Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat