Program MADANI Rakyat Bukti Ketelusan, Bukan Sekadar Cakap Kosong – PM

PETALING JAYA: Program MADANI Rakyat bukan sekadar retorik politik tetapi medan nyata bagi rakyat menilai sendiri keberkesanan dasar dan projek kerajaan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya semasa Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat di Politeknik Merlimau, Melaka, Anwar berkata, inisiatif tersebut diwujudkan untuk menyantuni rakyat secara langsung, sambil memastikan ketelusan dalam pelaksanaan peruntukan negara.

“Tujuan kita adakan program MADANI Rakyat ini ialah supaya rakyat tahu.

“Kita umumkan peruntukan untuk kementerian, jabatan atau projek dan rakyat boleh lihat sendiri hasilnya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pegawai kementerian turut ditugaskan memberi penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai pelaksanaan projek kerajaan termasuk dalam sektor pertahanan, pendidikan dan perumahan.

“Kalau peruntukan pertahanan RM21.7 bilion, rakyat berhak tahu kelengkapan mana dibeli, pesawat mana ditambah.

“Begitu juga sekolah baru mana yang dibina atau perumahan mana yang sedang dibangunkan,” katanya lagi.

Anwar turut menegur segelintir pihak yang gemar menyerang dasar kerajaan menggunakan hujah agama tanpa sandaran fakta sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kita yang belajar agama tidak pernah diajar untuk menghukum atau menghina tanpa rujukan kepada fakta.

“Tapi ada pihak yang hanya marah dan mengkafirkan tanpa usaha mencari kebenaran,” ujarnya.

Program MADANI Rakyat merupakan inisiatif turun padang di bawah pentadbiran Anwar yang bertujuan memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Ia juga menjadi saluran penting untuk memastikan pelaksanaan Belanjawan 2026 benar-benar dirasai di peringkat akar umbi selaras dengan semangat ketelusan dan kebertanggungjawaban yang menjadi teras Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat