Program naturalisasi FAM dihentikan sementara waktu

Program naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk skuad kebangsaan dihentikan buat sementara waktu.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, kelab bola sepak yang bernaung di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih boleh meneruskan program itu mengikut langkah dan prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Pemain naturalisasi mewujudkan persekitaran yang kompetitif dengan memberikan persaingan kepada pemain-pemain tempatan untuk disenarai dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan kita.

“Di samping itu, kehadiran pemain dalam kategori ini juga turut membantu mempertingkatkan mutu permainan bola sepak Malaysia yang dapat dilihat menerusi peningkatan ranking antarabangsa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai usaha FAM bagi memajukan sukan bola sepak dan adakah dasar naturalisasi akan diteruskan pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata prestasi bola sepak negara akan meningkat secara menyeluruh, melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama FAM mewujudkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang bermula pada tahun 2014 dengan fokusnya di peringkat umur tujuh hingga 17 tahun.

“Program ini merupakan pelan strategik jangka panjang yang telah menggariskan sembilan inisiatif bagi menghasilkan generasi baharu pemain bola sepak Malaysia yang boleh bersaing di peringkat asia dan dunia seterusnya layak ke Piala Dunia,” katanya.

Tambahnya, program itu mempunyai 16,228 pemain dan 767 jurulatih daripada 63 akademi tunas, 63 pusat latihan daerah, 14 buah sekolah sukan negeri, sebuah sukan Malaysia serta sebuah Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat