Program Payung Rahmah Diperluas Ke Semua DUN – PM

PARLIMEN | Kerajaan MADANI memperkukuh komitmen membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup melalui peruntukan RM1 bilion dalam Belanjawan 2026 dengan tumpuan memperluas inisiatif Payung Rahmah ke seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, RM600 juta disalurkan khusus bagi memperbanyak Program Jualan Rahmah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Program Rahmah terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat untuk membeli barangan asas pada harga lebih murah.

“Kita mahu setiap isi rumah, di bandar mahupun luar bandar, menikmati kesan langsung daripada inisiatif ini,” katanya.

Bagi rakyat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, kerajaan turut menyalurkan RM250 juta bagi menanggung kos pengedaran barangan asas ke kawasan terpencil seperti Taradas, Kudat dan Kawayoi di Kinabatangan, Sabah, serta Entaroh, Kapit dan Nanga Segeris, Sibu, Sarawak.

Langkah ini, menurut Anwar, mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan tiada rakyat tercicir daripada jaringan perlindungan sosial khususnya di kawasan berpendapatan rendah dan bergeografi mencabar.

Anda Mungkin Berminat