KUALA LUMPUR : Kementerian Sumber Manusia hari ini mengumumkan lanjutan tempoh pelaksanaan Program Pemutihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 31 Mei 2025.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, keputusan itu diambil berikutan sambutan menggalakkan daripada para majikan serta peningkatan ketara dalam pendaftaran dan pembayaran caruman sejak program tersebut dilancarkan.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 8,234 majikan dan 61,746 pekerja baharu, termasuk 46,094 pekerja tempatan dan 15,652 pekerja asing telah berdaftar di bawah program ini.
“Dalam tempoh ini, sebanyak 913 notis Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) melibatkan 433 majikan bernilai RM226,980 telah dikecualikan. Semua tindakan kompaun dan pendakwaan turut dikecualikan bagi majikan yang mendaftar secara sukarela,” katanya dalam sidang media khas di Menara PERKESO, hari ini.
Lanjutan ini juga mengambil kira sambutan Aidilfitri dan Hari Pekerja, sekali gus memberi peluang kedua kepada majikan untuk tampil menyelesaikan tanggungjawab mereka tanpa tekanan undang-undang.
Steven turut memaklumkan bahawa sebanyak 215,172 majikan dengan tunggakan FCLB berjumlah RM100 juta layak menerima pengurangan sehingga 50 peratus, tertakluk kepada syarat tertentu.
Bagaimanapun, tawaran ini tidak terpakai kepada majikan yang terlibat dengan kes tuntutan faedah, pendakwaan, atau telah menerima Notis Kompaun atas kesalahan seperti gagal mendaftar perusahaan atau pekerja serta kelewatan melaporkan kemalangan.
“Tindakan tegas akan diambil selepas 31 Mei terhadap majikan yang masih gagal tampil. Mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000, dan jika disabit kesalahan di mahkamah, boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya,” tegasnya.
Majikan diseru agar memanfaatkan lanjutan tempoh ini bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang pada masa akan datang.
Baca juga: