PETALING JAYA: Program berskala nasional, Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, kini memasuki fasa terakhir menjelang penganjurannya dari 5 hingga 7 Disember di Dataran Putrajaya.
Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama JPA dan MPC itu bakal dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Komunikasi Korporat PACU, Sapian Mamat berkata, program tiga hari itu menghimpunkan pencapaian kerajaan, dasar serta manfaat rakyat dalam satu platform terbuka.
“Konvensyen kali ini lebih substantif. Ia mengumpulkan pemikir, penjawat awam dan pemain industri untuk membincangkan halatuju perkhidmatan awam,” katanya.
Sapian berkata, keseluruhan pengisian dirangka melalui lapan segmen utama termasuk Ukhuwah Rakyat Madani, Belia Madani, Produk Rakyat Madani, Kesejahteraan Madani, TVET dan STEM-AI, karnival mini pelancongan, ASEAN serta hubungan antarabangsa.
“Tahun ini banyak rekod baik dicapai di peringkat negara, ASEAN dan antarabangsa.
“Program ini mengumpulkan semuanya supaya rakyat boleh melihat sendiri pencapaiannya,” katanya.
Menurut beliau, lebih 30 ruang perkhidmatan kerajaan juga akan dibuka, membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat terus daripada pegawai kementerian dan agensi.
“Ini ruang komunikasi dua hala. Kalau ada persoalan, inilah peluang bertanya terus kepada penjawat awam. Manfaat 2025 dan rangka awal Belanjawan 2026 juga dipersembahkan,” katanya.
Selain itu, Jualan Rahmah dan Jualan Kembali Ke Sekolah akan menjadi tarikan utama dengan tawaran potongan harga hasil koordinasi bersama KPDN.
Program turut menampilkan pameran aset kerajaan, pemeriksaan kesihatan, pameran TVET dan STEM-AI, karnival kerjaya, pengedaran topi keledar baharu serta kemudahan kiddo care percuma untuk dua jam pertama bagi ibu bapa.
Sapian turut menekankan kemudahan parkir dan pengangkutan awam telah disusun bagi keselesaan pengunjung.
“Kami galakkan penggunaan pengangkutan awam.
“‘Shuttle bus’ disediakan dari Presint 11, 15, 8 dan 9. Putrajaya juga ada MRT dan BRL.
“Parkir di Presint 2, 4 dan 5 semuanya dalam jarak berjalan kaki,” katanya.
Antara tarikan tambahan termasuk jualan agro, barangan sukan, Temasya Kopi, NADI E-Sukan Madani, agihan biji benih, perkhidmatan tukar minyak enjin motosikal percuma, gunting rambut percuma dan jualan trak makanan.
Sebanyak 60 hadiah cabutan bertuah menanti pengunjung termasuk hadiah utama sebuah motosikal Modenas 150cc serta barangan elektrik.
Lebih menarik, pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada hari ketiga, selain penganjuran Malam Kegemilangan Qalbi bernuansa kerohanian.
Program Rancakkan MADANI dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala Ahad dari 9 pagi hingga 6 petang.








