PETALING JAYA: Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia menjadikan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai perintis Program Pendidikan Tingkatan Enam di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukan sahaja meningkatkan kualiti pendidikan pra-universiti tetapi turut membuka peluang kepada pelajar luar bandar untuk menikmati akses pendidikan setanding rakan mereka di bandar.
Menurut Ketua AMK Nibong Tebal, Mu’adz Abd Rasyid, inisiatif itu adalah perkembangan positif terutamanya bagi pelajar di kawasan Parlimen Nibong Tebal yang kini dapat merasai suasana pembelajaran bertaraf universiti lebih awal.
“Pelajar tempatan kini berpeluang merasai suasana pembelajaran di peringkat universiti lebih awal, sekali gus meningkatkan motivasi, jati diri dan keyakinan mereka untuk melangkah ke alam pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berkata, kemudahan dan budaya pembelajaran universiti di USM Transkrian yang terletak dalam kawasan tersebut akan memberi manfaat besar kepada pelajar dari sekitar Nibong Tebal.
Mu’adz menyambut baik pelaksanaan program itu yang selari dengan aspirasi reformasi pendidikan negara serta mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Dengan akses kepada kemudahan dan budaya pembelajaran bertaraf universiti, pelajar dari kawasan seperti Nibong Tebal akan menikmati peluang pendidikan yang lebih berkualiti dan inklusif,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak terutama ibu bapa, pendidik, pentadbir sekolah, universiti serta komuniti setempat agar sama-sama berganding bahu memanfaatkan peluang ini demi masa depan anak muda.
“Ini bukan sahaja tentang pendidikan tetapi juga tentang menyediakan asas yang kukuh untuk generasi akan datang membina masa depan yang lebih cerah dan terjamin,” ujarnya.