Projek 190 unit kediaman warga ATM di Kota Samarahan berjalan lancar

KOTA SAMARAHAN: Sebuah projek mega yang melibatkan pembinaan 190 unit kediaman untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Muara Tuang kini sedang bergerak pantas menuju penyempurnaan, tujuh hari lebih awal daripada jadual.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan hadir di tapak projek hari ini untuk meninjau kemajuan dan memberikan sokongan kepada semua pihak yang terlibat.

Menurut KKR, dengan kos sebanyak RM116 juta, projek itu meliputi pembangunan unit-unit kediaman berkualiti tinggi termasuk banglo pelbagai kelas, rumah Semi-D serta apartmen lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, tadika, taska dan infrastruktur sokongan lain.

“Projek ini dibangunkan di atas tanah seluas 28.3 ekar, menonjolkan kecekapan teknologi moden seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling (BIM) bagi mempercepatkan tempoh pembinaan dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja manual.

“Setakat 25 Mac 2025, status kemajuan projek telah mencapai 50.05 peratus, mengukuhkan keyakinan bahawa projek ini bakal siap sepenuhnya pada Februari 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Hala Tuju Kementerian Kerja Raya (KKR) 2025, yang menekankan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan itu menepati piawaian tertinggi dalam aspek kualiti, kos dan masa.

KKR juga menyeru para kontraktor dan pasukan projek agar terus berusaha meningkatkan produktiviti, mengekalkan standard keselamatan serta memacu momentum kerja untuk memastikan projek itu menjadi mercu tanda kepada kejayaan infrastruktur negara.

“KKR berharap kontraktor dan kumpulan projek terus berusaha untuk mempertingkatkan momentum kerja serta mengekalkan kualiti dan rekod keselamatan di tapak pembinaan agar projek ini dapat disiapkan tepat atau lebih awal dari jadual yang ditetapkan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat