Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu laporan penelitian dikemukakan berkaitan peruntukan segera RM3 juta diberikan kerajaan tahun lalu bagi mengatasi masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Katanya, beliau tersinggung dengan laporan mengenai sekumpulan pelajar di universiti berkenaan yang mengadu tidak mandi disebabkan ketiadaan bekalan air.
“Tahun lalu saya sampai ke sana. Saya dengar resahan dan saya minta pengesahan dari Naib Canselor. Saya luluskan (peruntukan), saya tidak mengerti sama ada mungkin projek itu ambil masa.
“Cuma, saya nak minta laporan teliti, apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera untuk selesaikan masalah air di UMS,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Putrajaya pada Selasa.
Sebelum ini, terdapat laporan sama dikemukakan membabitkan isu masalah bekalan air yang turut berlaku di sebuah kem tentera di negeri itu.
“Sebelum ini, saya juga pergi ke kem tentera yang turut menghadapi masalah sama. Jadi saya minta juga laporan untuk dikemuka,” tambahnya.
Anwar bersetuju memberikan peruntukan RM3 juta kepada UMS bagi menyelesaikan masalah air di kampus itu pada tahun lalu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi mengatasi masalah bekalan air dihadapi warga kampusnya.
Menurut Zambry, pihak UMS memerlukan sedikit peruntukan tambahan khususnya untuk kawasan yang mempunyai sumber air, tetapi air itu tidak boleh dipam naik ke kawasan tinggi di asrama berkenaan.
Baca juga: