BANGKOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra atas komitmen merealisasikan projek pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok.
Anwar berkata, projek itu telah lama dibincangkan dan pelaksanaannya kini menjadi kenyataan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Thailand yang baharu itu.
“Tahniah atas komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua negara dan sempadan Malaysia-Thailand. Projek ini sudah lama dibincangkan dan di bawah kepimpinan Paetongtarn, ia direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mesyuarat dua hala bersama Paetongtarn di Government House, Bangkok sempena lawatan kerja dua hari ke Thailand bermula hari ini.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran perjanjian berkaitan pembinaan jambatan kedua serta kerja menaik taraf jambatan sedia ada yang menghubungkan Rantau Panjang di Kelantan dan Sungai Golok di Narathiwat.
Perjanjian ditandatangani oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan beliau akan bertemu Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN bagi membincangkan isu semasa termasuk dasar tarif Amerika Syarikat dan pertemuan terbarunya bersama Presiden China, Xi Jinping.