Projek tebatan banjir Kelantan dipercepat – PM

Oleh : Aliyaa Azmi

BACHOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Kelantan bagi menangani masalah banjir tahunan yang menjejaskan kehidupan rakyat negeri itu.

Menurut Anwar, projek berkenaan melibatkan kos yang besar dan memerlukan proses pengambilan tanah dilakukan segera bagi melancarkan pelaksanaan.

“Kita tidak sanggup melihat saban tahun Kelantan mengalami banjir tidak terkawal dengan kerajaan silih berganti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Kelantan di Dataran Pantai Irama, Bachok, hari ini.

Jelas beliau, kerjasama antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Ekonomi sedang dipertingkat bagi mencari pendekatan baharu dalam menangani masalah itu.

“Justeru, saya meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Ekonomi melihat beberapa kaedah baharu bagi menangani isu berkenaan.

“Jika kita melihat bila banjir sampai air melimpah dan apabila kemarau, air kering kontang. Jadi Allah berikan kita ikhtiar dan teknologi air yang mungkin boleh disimpan ketika melimpah untuk digunakan pada musim kemarau,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa walaupun terdapat perbezaan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, tujuan utama adalah sama iaitu membela nasib rakyat.

“Kerajaan Pusat dengan Kelantan memang ada sedikit perbezaan namun tujuan kita adalah sama mahu mengangkat martabat negara dan negeri, justeru masalah rakyat itu mesti diselesaikan,” katanya.

Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan sumbangan RM4 juta bagi pembinaan baharu Masjid Gong Chapa Temila, Pasir Puteh dan RM800,000 untuk penyiapan Masjid At-Taqwa, Mukim Beris Pak Pura, Bachok.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat