PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan lain membuktikan proses kehakiman negara kekal bebas serta tidak dipengaruhi campur tangan pihak luar.
Menurutnya, pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selepas perbincangan bersama Majlis Raja-Raja, mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Proses ini berjalan baik dan berlandaskan Perlembagaan, sekaligus menepis segala tohmahan yang dilemparkan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, hari ini.
Datuk Abu Bakar Jais turut dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Mengulas dakwaan kononnya nama Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dicalonkan, Anwar menjelaskan perkara itu tidak pernah berlaku.
“Nama beliau tidak pernah diusulkan. Ini hanya datang daripada sebaran peguam yang berpolitik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya budaya memfitnah dan mencerca badan kehakiman dihentikan.
“Saya tak buang hakim, tak arah tribunal, tak ganggu keputusan mahkamah seperti yang pernah berlaku dahulu. Jadi krisis apa yang dimaksudkan?” katanya lagi.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Hakim Negara yang baharu atas pelantikan itu.








