Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merombak Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi tuntutan faedah termasuk Hilang Upaya Kekal (HUK) bagi membendung kes tuntutan palsu berulang.
Katanya, ia susulan kes penahanan 32 individu termasuk tiga doktor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Tunjang bersama agensi berkenaan.
“Saya telah mengarahkan PERKESO mengambil langkah proaktif untuk merombak semula proses tuntutan bagi mengelak tuntutan palsu berulang di masa hadapan.
“Kita akan melihat kepada proses membuat tuntutan, semak imbang dan sebagainya. Ia akan di kaji semula serta dirombak untuk meletakkan mekanisme elak tuntutan palsu,” katanya dalam sidang akhbar khas di Menara PERKESO, di sini pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan SPRM membuat penahanan reman ke atas 33 individu termasuk dua doktor hospital kerajaan dan seorang doktor swasta di Butterworth bagi membantu siasatan selepas dipercayai terbabit dengan kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya PERKESO berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.
Difahamkan, ketiga-tiganya masing-masing berusia 36, 50 dan 57 tahun dengan dua daripada mereka bertugas sebagai pakar ortopedik di sebuah hospital kerajaan di Bukit Mertajam dan Seberang Jaya manakala seorang lagi berkhidmat di hospital swasta di Butterworth.
Dalam pada itu, PERKESO dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedia memberi kerjasama dalam menangani kartel tuntutan palsu ini.
“Ops Tunjang akan diteruskan dengan kerjasama SPRM dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“PERKESO melalui siasatan dalaman oleh Bahagian Anti Fraud, Etika dan Integriti (ARFI) juga telah membongkar kewujudan rangkaian kartel penipuan tuntutan palsu faedah HUK sejak beberapa tahun lalu.
“Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO tidak akan berkompromi serta bertekad untuk memerangi kegiatan kartel kerana peruntukan faedah perlindungan sosial itu sepatutnya disalurkan kepada pencarum dan waris memerlukan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Untuk rekod, sehingga kini SPRM menerusi Ops Tunjang telah memberkas 32 individu termasuk tiga pengamal perubatan pada 3 September 2024 dengan nilai kerugian dijangka mencecah lebih RM2 juta.