PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyifatkan tindakan pembangkang berhimpun membantah kenaikan harga minyak sebagai sia-sia dan tidak membantu menyelesaikan isu sebenar yang dihadapi rakyat.
Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, himpunan tersebut dilihat cuba mengelirukan rakyat dengan menggambarkan seolah-olah Malaysia sahaja berdepan kenaikan harga minyak.
“Mereka cuba menggambarkan seolah-olah hanya Malaysia yang menaikkan harga minyak, sedangkan hakikatnya seluruh dunia sedang menerima tempias krisis tenaga susulan konflik di Timur Tengah,” katanya.
Faezuddin berkata, kenaikan harga minyak adalah fenomena global yang turut menjejaskan banyak negara termasuk pengeluar utama minyak.
“Negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menyemak naik harga petrol dan diesel bagi April 2026, manakala syarikat minyak seperti Saudi Aramco dan Sonatrach Algeria menaikkan harga rasmi LPG antara 38 hingga 80 peratus,” katanya.
Beliau berkata, negara ASEAN lain turut berdepan situasi sama apabila Filipina mengisytiharkan darurat tenaga nasional pada 24 Mac lalu, manakala Thailand menaikkan harga diesel sebanyak 3.50 baht seliter serta petrol dan gasohol sebanyak 0.70 baht seliter berkuat kuasa 3 April.
Katanya lagi, Indonesia dan Singapura juga tidak terkecuali daripada kesan kenaikan harga tenaga global.
Tegas Faezuddin, adalah tidak wajar untuk menyalahkan kerajaan semata-mata kerana tekanan yang sama turut dihadapi negara lain di rantau ini.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa Kerajaan MADANI terus mengambil langkah proaktif bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif subsidi.
“Kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel yang dianggarkan mencecah sekitar RM4 bilion sebulan.
“Harga RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter, manakala diesel bagi kumpulan sasaran kekal RM2.15 seliter.
“Malah, bantuan di bawah program BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi telah dinaikkan kepada RM300 sebulan bermula Mac 2026, selain diesel nelayan dikekalkan pada harga RM1.65 seliter,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh untuk menyertai himpunan yang menurutnya tidak membawa penyelesaian, sebaliknya hanya menjadi platform politik untuk pihak tertentu.








