Protes ‘No Kings’ Gegar AS, Ribuan Berarak Di Washington DC

WASHINGTON: Gerakan ‘No Kings’ mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu dengan lebih 2,600 acara dianjurkan serentak di semua 50 negeri.

Memetik laporan Al-Jazeera, di Washington DC, ribuan peserta membanjiri jalan-jalan berhampiran White House, menyuarakan bantahan terhadap dasar Presiden Donald Trump yang dianggap mendorong negara ke arah pemerintahan autokratik.

Protes itu menyasarkan pelbagai isu termasuk penguatkuasaan imigresen yang lebih ketat, pemotongan dana kepada universiti elit dan penempatan tentera kebangsaan di bandar-bandar utama.

Tindakan pentadbiran Trump terhadap protes pro-Palestin, dasar transgender dan kepelbagaian kampus turut menjadi punca kemarahan rakyat.

Di ibu negara, suasana protes menyerupai pesta jalanan dengan pancaragam, sepanduk besar bertulis “We The People” dari perlembagaan AS dan peserta berpakaian kostum katak sebagai simbol satira.

Slogan seperti “Trump must go now”, “Resist Fascism” dan “Democracy not Monarchy” bergema di seluruh lokasi protes.

Menurut laporan, lebih 100,000 orang hadir di Washington DC sahaja, menjadikan ia antara perhimpunan terbesar dalam siri protes itu.

Tiada tangkapan dilaporkan dan penganjur menegaskan bahawa demonstrasi itu bertujuan untuk kekal aman dan mengelakkan konfrontasi.

Gerakan ‘No Kings’ mula mendapat momentum sejak Jun lalu sebagai tindak balas kepada perarakan ulang tahun tentera yang dianjurkan oleh Trump.

Kini, ia menjadi simbol penentangan terhadap apa yang dilihat sebagai penghakisan nilai-nilai demokratik dan kebebasan sivil di bawah pentadbiran beliau.

Anda Mungkin Berminat