PETALING JAYA: Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar yakin pengalaman luas serta rekod cemerlang calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Jamawi Jaafar, mampu memperkukuh kemajuan kawasan itu.
Beliau berkata, Jamawi memahami keperluan sebenar penduduk Melalap dan berupaya membawa perubahan ketara sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
“Jika diberi peluang, kita yakin beliau dapat memperkukuh pembangunan asas termasuk jalan raya, bekalan air, pendidikan serta membuka peluang ekonomi baharu kepada belia,” katanya dipetik Daily Express pada Khamis.
Nurul Izzah menambah, sokongan pengundi terhadap Jamawi akan memastikan kesinambungan pelbagai inisiatif pembangunan seperti menaik taraf kemudahan kampung, memperluas perkhidmatan kesihatan luar bandar dan memperbaiki capaian telekomunikasi.
“Melalap berpotensi menjadi model pembangunan luar bandar jika masyarakat terus bersatu memberi sokongan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan kestabilan politik terpelihara, sekali gus mempercepat pelaksanaan pelan pembangunan negeri di peringkat akar umbi.
“Dengan kestabilan politik, pembangunan luar bandar dapat dipercepat supaya Melalap menikmati kemajuan setanding kawasan lain,” ujarnya.
Untuk rekod, Jamawi pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong dari 2018 hingga 2020 mewakili UMNO sebelum bertanding di Melalap dan Parlimen Tenom dalam pilihan raya berikutnya. Beliau kini bersama Gagasan Rakyat dan dicalonkan oleh PKR, dengan sokongan terbuka daripada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Baca juga:








