Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Rakyat perlu diberi kehidupan yang lebih senang serta masa yang lebih lapang terutamanya ketika memasuki era persaraan.
Ahli Jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Arveent Kathirchelvan mempersoalkan signifikan cadanganMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkait kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 ke 65 tahun.
“Saya tidak faham kenapa kita perlu terbawa-bawa menyelaraskan apa-apa polisi dalaman negara dengan ASEAN.
“Kita perlu faham bahawa semua negeri ASEAN, dengan pengecualian Singapura, terguna oleh syarikat-syarikat besar sedunia untuk mendapat tenaga kerja murah.
“Ini menyebabkan simpanan setiap pekerja ASEAN kurang, sekali gus mendatangkan kesulitan pada zaman tua,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Ujar beliau lagi, saat ini ramai pekerja yang lebih tua daripada 60 tahun masih diberi gaji sebagai pekerja kontrak dengan itu katanya ramai yang telah uzur terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan mereka sendiri.
Katanya, golongan majikan turut berpandangan bahawa peningkatan usia persaraan itu banyak mendatangkan pelbagai masalah.

Antaranya, pekerja yang menua terpaksa dikekalkan dan perkembangan pengganti mereka terbantut.
“Banyak syarikat kini mengalami masalah isu mencari pengganti yang secukupnya akibat masa diambil untuk kenaikan pangkat terlalu lama sehingga pekerja yang berpengalaman meninggalkan syarikat tersebut.
Dengan itu katanya, peningkatan usia persaraan akan menyebabkan anak muda pada ketika ini terpaksa menunggu lebih lama untuk memantapkan kerjaya mereka dengan memegang pangkat lebih tinggi.
Sepertimana yang selama ini diperjuangkan oleh PSM, beliau mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan Skim Pencen Warga Emas yang menetapkan pemberian RM500 setiap bulan kepada golongan yang berusia lebih 65 tahun bagi membantu menampung kos hidup mereka.
“Biarlah warga emas berehat. Tingkatkan usaha mewujudkan skim dan polisi sosial secukupnya untuk mereka bersara dengan bermaruah.
“Janganlah memeras anak muda dengan membantutkan kerjaya mereka.
“Ikhtibar dari negara luar biarlah berpatutan dengan visi menyenangkan kehidupan rakyat setempat,” ujar beliau.
Baca juga: