KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah pusat sauna di Chow Kit baru-baru ini telah diarahkan meletakkan jawatan serta-merta.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan bahawa unit integriti kementerian telah memulakan siasatan dalaman mengikut peraturan tatatertib perkhidmatan awam, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menentukan tindakan susulan.
“Pegawai berkenaan telah diarahkan meletakkan jawatan serta merta daripada pejabat timbalan menteri.
“Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan bahawa tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola, dan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan unit integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa.
“Sebagai timbalan menteri, saya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” katanya lagi.
Kes ini berkait dengan serbuan yang turut menyaksikan 208 individu ditahan, termasuk 17 penjawat awam, di sebuah kelab kesihatan tiga tingkat yang menempatkan gim, sauna, jakuzi dan sebuah bilik gelap untuk aktiviti terlarang. Operasi mengejut itu dilaksanakan oleh Polis Kuala Lumpur bersama DBKL dan Jawi.
Penjawat awam di Malaysia tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 serta perlindungan di bawah Perkara 135 Perlembagaan Persekutuan, yang memastikan mereka tidak boleh dibuang kerja tanpa diberi peluang membela diri.
Namun, tindakan tatatertib tetap boleh diambil selepas proses siasatan selesai.
Baca juga:








