PTK Klang Kesan 9 Vendor Langgar Undang-Undang Buruh Dalam Operasi Mengejut

KLANG: Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Klang mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang buruh oleh sembilan vendor pekerja dalam satu operasi penguatkuasaan mengejut di sebuah syarikat kurier di Pulau Indah, dekat sini.

Operasi yang dijalankan susulan aduan berkaitan kebajikan pekerja itu mendapati sejumlah vendor gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) serta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Antara kesalahan dikenal pasti termasuk potongan gaji tidak sah tanpa kebenaran Ketua Pengarah, beroperasi tanpa lesen, kegagalan menyediakan kontrak perkhidmatan dan penyata gaji, selain tiada perakuan penginapan pekerja.

PTK Klang dalam kenyataannya memaklumkan, beberapa syarikat terlibat telah dikenakan kompaun atas kesalahan membuat potongan gaji tidak sah, dan sebahagian daripada mereka telah menjelaskan bayaran kompaun berkenaan.

Sementara itu, sebuah syarikat agensi pekerjaan swasta turut berdepan tindakan pendakwaan dan kes telah didaftarkan di Mahkamah Sesyen Klang.

Selain itu, sebuah agensi pekerjaan diarahkan menghentikan operasi kerana beroperasi selepas lesen tamat tempoh serta gagal melaporkan pindah premis kepada pihak berkuasa.

Menurut PTK Klang, beberapa kertas siasatan juga sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Penasihat Undang-undang Jabatan bagi mendapatkan izin mendakwa.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad, dalam kenyataan sama menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan setiap pekerja dilindungi dan sebarang bentuk eksploitasi tidak dibiarkan berleluasa.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepatuhan menyeluruh terhadap undang-undang perburuhan negara.

Anda Mungkin Berminat