PTPTN lupus pinjaman pelajar UPSI terlibat nahas bas di Gerik

KUALA LUMPUR: Pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan bas di Gerik, Perak pada Isnin lalu, akan dilupuskan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelupusan pinjaman itu dibuat berdasarkan dasar sedia ada sekiranya peminjam disahkan meninggal dunia.

“Jika ada dalam kalangan mangsa yang merupakan penerima pinjaman PTPTN, maka pinjaman itu akan dilupuskan atau dimaafkan sepenuhnya.

“Jadi tiada sebarang isu berkaitan hutang membabitkan kesemua 15 mangsa yang terkorban,” katanya dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), hari ini.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan agar bantuan tambahan disalurkan kepada keluarga mangsa tragedi.

“Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga 15 mangsa yang maut, manakala RM5,000 kepada mangsa yang cedera.

“Perdana Menteri juga meminta Jabatan Peguam Negara meneliti aspek insurans bagi memastikan keluarga mangsa menerima bantuan sewajarnya,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat