Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan Madani dilihat mempunyai kesungguhan besar dalam memperkasa peluang pendidikan anak-anak golongan B40 dengan memberi Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengecualian bayaran balik kepada mereka.
Menurut Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, sejak mutakhir ini kerajaan mempunyai peruntukan tambahan dalam kantung perbelanjaan hasil rentetan pelarasan pelbagai yang membuatkan Malaysia mempunyai peluang untuk memulakan agenda kos pendidikan tersebut sedikit demi sedikit.
“Figura-figura yang memimpin kerajaan Malaysia MADANI sekarang memang dikenali antara yang obses untuk memperjuangkan pendidikan percuma.
“Namun mutakhir ini kerajaan semakin mempunyai tambahan dalam kantung perbelanjaan rentetan pelarasan pelbagai subsidi serta meminimakan ketirisan melalui pelbagai penguatkuasaan.
“Dengan lebihan tersebut, kerajaan mempunyai peluang untuk memulakan agenda mengurangkan kos pendidikan tersebut sedikit demi sedikit,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Ketika ditanya mengenai pengecualian bayaran balik PTPTN yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, beliau menyifatkan ia sebagai permulaan buat Kerajaan Madani ke arah memperjuangkan pendidikan percuma.
“Walaupun manfaatnya pada masa ini masih terhad kepada golongan tertentu.
“Inisiatif ini masih di peringkat awal, kerana kumpulan penerima manfaat belum menyeluruh. Namun bagi saya, ini satu komitmen dan kesungguhan besar daripada kerajaan,” katanya.
Dr Mohd Yusri turut menyatakan bahawa sekiranya kedudukan ekonomi negara terus dipertingkatkan, lebih banyak langkah dapat diambil pada masa hadapan untuk mengurangkan beban kos pendidikan tinggi secara progresif.
Baca juga: