“PTPTN Percuma, Kini Saya Boleh Fokus Sepenuhnya Pada Pelajaran”

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Pengumuman kerajaan menerusi Belanjawan 2026 yang menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah disambut baik dalam kalangan mahasiswa B40 yang melihatnya sebagai langkah tepat ke arah pembangunan modal insan negara.

Bagi pelajar tahun dua Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Akmal Naim, 21, yang mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam, inisiatif itu bukan sekadar bantuan kewangan, malah satu bentuk pengiktirafan kepada usaha pelajar berpendapatan rendah untuk berjaya melalui pendidikan.

“Saya sangat menghargai keputusan kerajaan ini. Ia bukan hanya meringankan beban keluarga, tetapi menunjukkan bahawa kerajaan memahami realiti pelajar miskin yang berusaha keras untuk terus belajar walaupun dalam kekangan kewangan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Isnin

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, keluarganya berpendapatan bawah RM2,500 sebulan dan banyak bergantung kepada pinjaman PTPTN bagi menampung yuran pengajian serta kos sara hidup di universiti.

“Ayah saya bekerja sebagai penoreh getah manakala ibu jual kuih muih. Dengan pendapatan yang ada, memang kami perlu berjimat setiap bulan. Jadi bila ada inisiatif seperti ini, ia memberi kelegaan besar dan keyakinan untuk terus fokus pada pelajaran,” ujarnya.

Sebelum ini, Akmal perlu bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan harian, namun keadaan itu sering menjejaskan tumpuan terhadap kuliah dan tugasan akademik.

“Dulu saya kerja ‘part time’ sebab duit PTPTN cepat habis, tapi bila kerajaan umumkan pendidikan percuma ni, saya rasa lebih tenang. Saya boleh beri tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa perlu risau soal kewangan,” katanya lagi.

Menurutnya, inisiatif itu juga menunjukkan kesungguhan kerajaan memastikan pelajar daripada semua lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata untuk berjaya di peringkat tinggi.

“Langkah ini membuktikan kerajaan melihat pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang negara. Bila pelajar B40 diberi peluang sebegini, mereka bukan saja dapat ubah nasib keluarga, tetapi juga menyumbang semula kepada pembangunan negara,” katanya.

Tambahnya, peluang itu menjadi pemangkin semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.

“Saya berazam untuk manfaatkan peluang ini sebaik mungkin. Saya nak buktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk berjaya, dan satu hari nanti saya mahu balas jasa mak ayah yang banyak berkorban untuk saya,” ujarnya.

Belanjawan 2026 memperuntukkan RM120 juta bagi pelaksanaan pendidikan percuma kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dengan pelaksanaannya diselaras oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Langkah itu diharap dapat memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih adil dan inklusif, sekali gus mengurangkan jurang sosioekonomi antara pelajar bandar dan luar bandar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat