PETALING JAYA: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyarankan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkukuh hubungan dengan industri kreatif.
Ia adalah penting untuk membimbing penggiat seni menghasilkan karya yang selaras dengan prinsip syariah.
Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, kehadiran JAKIM dalam ekosistem seni perlu lebih konsisten, bukan hanya ketika isu berbangkit.
Menurutnya, pendekatan itu akan membantu mencapai keseimbangan antara elemen agama dan hiburan.
“JAKIM disaran untuk memulakan perbincangan awal dengan penerbit, penulis skrip dan pengarah agar kandungan kreatif memenuhi garis panduan syariah serta aspirasi Malaysia Madani.
“Islam sebagai agama rasmi negara mengiktiraf seni sebagai medium dakwah dan pendidikan.
“Oleh itu, PTVM percaya seni dan agama mampu berganding bahu membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Saranan ini muncul selepas JAKIM menegur drama bersiri ‘Bidaah’ kerana menampilkan adegan yang kurang sesuai untuk tontonan umum.
Penerbit drama tersebut telah menerima teguran dengan baik dan bersetuju memotong adegan yang tidak selaras dengan nilai Islam.
Pada masa yang sama, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Jurey Latiff turut menyatakan sokongan penuh PTVM terhadap teguran JAKIM.
“PTVM berpendirian bahawa setiap karya seni harus mencerminkan prinsip akidah, syariah dan akhlak agar tidak menimbulkan fitnah terhadap agama serta memelihara keharmonian masyarakat.
“PTVM turut mengalu-alukan kerjasama lebih erat dengan JAKIM untuk menghasilkan kandungan kreatif yang menggabungkan nilai Islam tanpa mengekang kreativiti karyawan seni,” tambahnya.