KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara (KAN) digesa menyiasat status projek mesin layan diri nasi lemak yang diperkenalkan ketika Datuk Seri Rafizi Ramli menerajui Kementerian Ekonomi sebelum ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, siasatan itu penting bagi menentukan sama ada projek berkenaan masih berkesan, tidak berlaku pembaziran serta tiada unsur manipulasi harga pembelian mesin.
“Saya mendesak KAN menyiasat status projek ini. Perlu dipastikan sama ada ia benar-benar memberi manfaat, tidak membazir dan tiada ‘make up’ dalam kos pembelian mesin layan diri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut membandingkan projek itu dengan inisiatif lain yang didakwa kurang berkesan, termasuk projek MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menurutnya menelan kos tinggi namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Projek mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INSAN) itu diperkenalkan pada 26 Februari 2023, dengan matlamat membantu golongan B40 menjana pendapatan tambahan. Sebanyak 100 mesin pertama mula beroperasi pada Jun tahun sama.
Kontroversi projek tersebut kembali hangat selepas Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, mengkritik inisiatif bernilai RM750 juta itu dalam Konvensyen PKR Johor, pada Ahad.
Menurut Mohd Puad Zarkashi, siasatan perlu disegerakan memandangkan projek berkenaan melibatkan kepentingan rakyat serta nilai peruntukan yang besar.
Beliau turut menyifatkan kritikan terbuka oleh R Ramanan terhadap projek itu sebagai sesuatu yang serius, apatah lagi ia dibuat di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini menunjukkan beliau sendiri menganggap projek itu gagal, sehingga berani menasihati Perdana Menteri supaya memilih Menteri Ekonomi yang benar-benar layak pada masa hadapan,” katanya.
Baca juga:








