Puad: Muhyiddin Lemah Sokongan, Bukan Perwira Politik

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah ‘perwira politik’, sebaliknya pemimpin yang lemah dan gagal menguasai sokongan dalaman parti serta gabungan Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu merujuk analisis Profesor Seni Bina Islam, Prof Dr Tajuddin Rasdi, yang mendakwa Muhyiddin mempunyai pengaruh luar biasa sehingga mampu mengawal rakan sekutu politiknya.

Menurut Puad, pandangan itu tidak menggambarkan realiti sebenar yang berlaku dalam Bersatu dan PN.

“Hakikatnya, hanya tiga Ahli Parlimen Bersatu menyokong Muhyiddin ketika krisis kepimpinan, manakala majoriti yang lain menyebelahi Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, beberapa pemimpin negeri yang meletakkan jawatan seperti Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Dr Shaharuddin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bukan Ahli Parlimen, sekali gus menunjukkan kedudukan Muhyiddin ketika itu semakin lemah.

Puad menegaskan Muhyiddin sedar beliau berada di penghujung sokongan politik apabila tidak lagi mampu bertahan meskipun menerima sokongan sementara daripada 15 Ahli Parlimen UMNO, sebelum akhirnya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan negara.

“Maka di mana gelaran ‘perwira politik’? Di mana kuasa jentikan yang dikatakan ghaib itu?” soal beliau.

Menurut Puad, Muhyiddin dikenali sebagai pemimpin yang keras kepala, termasuk ketika mengisytiharkan darurat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keengganannya menerima nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Beliau mendakwa Muhyiddin lebih mahir memanipulasi keadaan politik, namun lemah dari segi sokongan akar umbi, yang menyebabkan beliau gagal bertahan lama dalam kepimpinan Bersatu.

“Dalam Bersatu, Hamzah menguasai akar umbi parti. Inilah punca Muhyiddin akhirnya meninggalkan PN,” katanya.

Puad turut mendakwa Muhyiddin menjadi faktor utama perpecahan PN, dengan situasi politik di Perlis dijadikan contoh kegagalan gabungan itu, sambil menegaskan UMNO tidak terkesan dengan perkembangan tersebut.

“UMNO memang mahukan PN berakhir. PAS pula tidak berminat untuk mengetuai PN selepas mengalami kekalahan teruk di Sabah. Mereka sedar Bersatu sedang menuju penamat,” katanya.

Beliau turut mendakwa Hamzah kini sedang merancang jajaran politik baharu, yang menurutnya menandakan PN juga bakal berdepan pengakhiran.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat