Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Sekiranya mahu menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), nama yang dikomersialkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa perlu ditukar semula agar sejarah pahit dapat dibuang jauh.
Itu antara sindiran yang dilontarkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi ketika mengulas mengenai wujudnya desakan daripada pihak-pihak tertentu agar Muafakat Nasional diaktifkan semula.
Puad berkata, nama Muafakat Nasional kini sudah rosak dan dipenuhi dengan ketirisan oleh Annuar Musa.
“Nama MN sudah rosak, penuh rasuah dan telah dikomersilkan oleh Annuar Musa.
“Tetapi jangan pula setelah dibuat badan baru, di sini dia ahli, di sana dia ahli dan dia juga ahli. Kalau itu berulang lagi maka kita mengulang cerita lama.
“Main banyak lawang,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook beliau pada Isnin.

Sehubungan itu kata beliau, selagi mana Muafakat Nasional masih mengamalkan permainan politik di takuk asas yang sama, gabungan itu tidak akan bergerak lebih jauh dan kuasa kekal menjadi punca pemimpin berpecah-belah.
“Lebih baik membina persefahaman agar tebuk atap atas kepala kawan sendiri seperti di Perlis tidak berlaku,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan desakan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional semakin hangat diperkatakan apabila PAS mula meminta ahli dan penyokong UMNO supaya menghidupkan semula semangat Muafakat Nasional (MN) sebagai asas perpaduan ummah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerjasama antara PAS dan UMNO penting bagi menjamin kestabilan politik negara khususnya di peringkat akar umbi.
Baca juga:








