Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Amalan berpuasa bukan sahaja memberi manfaat dari sudut rohani, malah dipercayai mencetuskan satu proses biologi dikenali sebagai autophagy yang membantu tubuh menyingkirkan sel rosak dan toksin.
Perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan bahawa autophagy, yang membawa maksud “makan sendiri”, ialah mekanisme semula jadi tubuh untuk mengitar semula komponen sel yang rosak bagi menjana tenaga dan mengekalkan kesihatan sel.
Menurut PHM, dalam tempoh 0 hingga 12 jam pertama berpuasa, tubuh menggunakan simpanan gula (glikogen) sebagai sumber tenaga. Selepas simpanan itu berkurangan, paras insulin menurun dan badan mula beralih kepada sumber tenaga alternatif.
“Apabila badan tidak menerima bekalan makanan baharu melebihi 14 jam, proses autophagy diaktifkan. Ketika ini, sel akan mula ‘membersihkan’ komponen rosak dan mengitar semula bahan yang tidak diperlukan,” menurut perkongsian itu di Facebook pada Ahad.
Antara yang disasarkan dalam proses itu termasuk sel yang rosak atau tua, protein tidak normal serta lemak berlebihan.
“Proses ini penting dalam mengekalkan fungsi sel yang sihat dan berpotensi mengurangkan risiko penyakit kronik,” menurut kenyataan itu lagi.
PHM turut menjelaskan bahawa pengambilan makanan secara kerap tanpa tempoh rehat yang panjang boleh menyebabkan proses autophagy sukar diaktifkan kerana badan sentiasa berada dalam keadaan menghadam makanan.
Sehubungan itu, orang ramai disaran berbuka puasa secara sederhana dengan mengutamakan air kosong dan kurma terlebih dahulu, diikuti sumber protein serta sayur-sayuran.
“Pengambilan minuman manis berlebihan pula dikhuatiri boleh mengganggu proses pemulihan sel yang sedang berlaku,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya memberi peluang kepada tubuh menjalankan proses pembaikan sel secara semula jadi.
Baca juga:








