GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM25.34 juta bagi pembangunan masjid dan surau di seluruh negeri pada tahun ini, sekali gus memperkukuh peranan institusi agama sebagai pusat ibadah, pendidikan dan penyatuan masyarakat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM17.67 juta yang diperuntukkan pada tahun 2025, mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan Islam yang seiring dengan agenda negeri inklusif.
Menurut beliau, sehingga kini terdapat sebanyak 258 masjid di Pulau Pinang termasuk tujuh masjid baharu yang telah siap dan mula beroperasi tahun lalu, sekali gus memperluas kemudahan ibadah kepada masyarakat setempat.
Usaha itu, katanya, dilaksanakan melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam memperkasa institusi masjid dan surau sebagai pusat ibadah, pendidikan serta penyatuan ummah.
“Kerajaan negeri komited memastikan pembangunan agama Islam terus diperkukuh seiring dengan agenda pembangunan negeri yang inklusif,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri pada Khamis.
Beliau berkata, pengukuhan institusi agama merupakan antara elemen penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat, selain pembangunan fizikal dan ekonomi.








