Pulau Pinang Teliti Cadangan, Luas Inisiatif Diskaun Hartanah India Muslim

PETALING JAYA: Kerajaan Pulau Pinang sedang meneliti cadangan bagi memperluaskan pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim untuk pembelian unit hartanah tidak terjual (overhang) di negeri itu.

Dalam satu kenyataan, hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pemaju untuk memperhalusi dasar tersebut agar lebih inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan prinsip keadilan sosial.

“Sebahagian pandangan yang diterima serta dikemukakan menyatakan bahawa diskaun berkaitan sepatutnya juga ditawarkan kepada semua pembeli dengan tujuan merangsang semula sektor hartanah terutamanya penjualan unit-unit tidak terjual,” katanya.

Menurut Chow, isu itu akan dikemukakan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bagi mempertimbangkan pendekatan terbaik demi kepentingan semua pihak.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee telah menyatakan bahawa kerajaan negeri akan menyemak semula dasar pemberian diskaun tersebut kepada komuniti India Muslim.

“Saya mengambil maklum tentang maklum balas orang awam berhubung diskaun lima peratus yang diberikan kepada komuniti India Muslim bagi tujuan pembelian unit hartanah tidak terjual (overhang) di Pulau Pinang.

“Sebagai sebuah parti yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa memperjuangkan keadilan dan kebajikan semua rakyat Malaysia, tak kira kaum dan agama,” katanya.

Anda Mungkin Berminat