Puluhan Ribu Palestin Penuhi Al-Aqsa Pada Jumaat Pertama Ramadan

BAITULMUQADDIS: Suasana penuh keberkatan menyelubungi Masjid Al-Aqsa apabila kira-kira 80,000 rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat pertama Ramadan di kawasan suci itu, menurut Jabatan Wakaf Islam Baitulmuqaddis.

Daripada jumlah tersebut, sekitar 10,000 jemaah dari Tebing Barat berjaya hadir meskipun berdepan sekatan ketat pihak berkuasa Israel.

Ribuan lagi terpaksa berpatah balik selepas dihalang di pusat pemeriksaan utama termasuk di Qalandia, apabila kuota kemasukan harian dipenuhi.

Polis Israel dilaporkan mengerahkan 3,000 anggota di sekitar Kota Lama dan pekarangan Al-Aqsa.

Langkah itu sebahagian daripada prosedur keselamatan yang turut mengehadkan akses rakyat Palestin dari Tebing Barat.

Permit khas harian diperlukan untuk memasuki kawasan masjid dengan syarat kelulusan keselamatan serta pengesahan digital di lintasan sempadan.

Akses pula hanya dibenarkan kepada lelaki berusia 55 tahun ke atas, wanita 50 tahun ke atas serta kanak-kanak bawah 12 tahun yang ditemani keluarga terdekat.

Anda Mungkin Berminat