Oleh: Nadhirah Akmam
PUTRAJAYA: Puluhan ribu pengunjung mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal jam 5 pagi bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada Ahad.
Kehadiran orang ramai sejak awal pagi mencerminkan semangat patriotik tinggi dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan.
Tinjauan Malaysia Bangkit mendapati ada yang tiba seawal jam 7 malam semalam dan memilih untuk bermalam di perkarangan dataran bagi menyaksikan kemeriahan sambutan.
“Kami sekeluarga dari Petaling Jaya tiba sekitar jam 7 malam semalam dan memang merancang untuk bermalam di sini bersama anak-anak,” kata Wan Muhamad Saifuddin Wan Azahari, 31.
Sambutan turut dimeriahkan oleh keluarga bersama anak kecil, pelajar serta warga emas yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan acara tahunan itu.
Antara tarikan utama ialah pasukan pancaragam, perarakan anggota badan beruniform, serta nyanyian lagu tema Hari Kemerdekaan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Pihak penganjur turut menyediakan kawalan keselamatan rapi, kemudahan khemah rehat, gerai makanan dan pasukan perubatan bagi keselesaan pengunjung.
Sambutan tahun ini membawa tema ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’ selaras dengan hasrat kerajaan memperkukuh perpaduan dan semangat kebangsaan.
Baca juga: