PETALING JAYA: Kerajaan Madani akan memperkasakan Majlis Industri Pertahanan (MIP) sebagai badan penyelaras dasar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) akan digerakkan menerusi empat ruang tumpuan utama iaitu menerusi pengukuhan tadbir urus dan institusi.
Anwar berkata, tindakan itu akan dilaksanakan menerusi pemerkasaan Majlis Industri Pertahanan (MIP) sebagai badan penyelaras dasar.
“Manakala Majlis Penasihat Sains dan Teknologi Pertahanan (MPSTP) akan menjadi pusat perancangan teknologi pertahanan negara.
“Segala pelaksanaan akan dipandu dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti, supaya industri pertahanan lebih teratur, berkesan dan diyakini,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika memberi ucapan Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Mitec, Kuala Lumpur pada Rabu.
Kedua pula katanya, melalui sektor pembangunan keupayaan dan teknologi yang mana Kerajaan Madani komited memperkasa penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I).
“Melalui Industrial Collaboration Programme (ICP), pemindahan teknologi daripada rakan luar akan dimanfaatkan sepenuhnya.
“Teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan, sistem autonomi, pengilangan pintar dan teknologi dwi-guna akan diberi keutamaan.
“Malah, pusat kecemerlangan dalam bidang aeroangkasa, maritim, automotif ketenteraan, dan pertahanan siber akan diwujudkan,” ujarnya.

Selain itu, DIPN akan dilaksanakan menerusi kaedah pemantapan ekosistem dan rantaian bekalan iaitu Malaysia mesti membina rantaian bekalan pertahanan tempatan yang tahan lasak.
“Vendor-vendor tempatan akan dibantu melalui insentif fiskal, serta program bimbingan industri.
“Pada masa sama, bakat tempatan akan dibangunkan melalui TVET pertahanan, latihan semula veteran, serta pembangunan tenaga muda.
“Prinsip ESG (Environmental, Social & Governance)turut diterapkan agar industri berkembang secara mampan,” jelasnya.
Kaedah yang keempat pula melalui peningkatan daya saing global dan eksport, yang mengaktifkan DIPN dalam menetapkan sasaran agar Malaysia muncul sebagai Hab Pertahanan Serantau menjelang dengan merangka strategi eksport pertahanan bagi memperluas pasaran antarabangsa dengan Malaysia pengukuhan kerjasama dengan ASEAN, OIC, dan negara-negara industri utama.
“Kita mahu melahirkan jenama pertahanan Malaysia yang diiktiraf dan dihormati di peringkat global,” katanya.
Baca juga:








