Pusat Khidmat Rakyat Kota Raja Tanggung bil utiliti Masjid Putra Heights

KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja akan menanggung bil utiliti Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa kebakaran saluran gas, sejak Selasa lalu.

Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkata tanggungan bil bagi April itu disalurkan untuk membantu meringankan beban kos perbelanjaan berikutan insiden itu.

“Insya-Allah bantuan lain akan diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Bang Mat (Mohamad) berharap semua mangsa bersabar,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial Facebooknya, hari ini.

Beliau juga meminta orang ramai bersama-sama berdoa agar semua mangsa dilindungi dan segala urusan mereka dipermudahkan serta menyeru semua sentiasa berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan berkaitan turut memantau perkembangan terkini di pusat pemindahan sementara dan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa.

Bantuan lebih lanjut dari kerajaan negeri Selangor dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat