KUALA TERENGGANU: Pulau Bidong kembali menjadi tumpuan apabila delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diketuai oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, meneruskan jelajah Semarak Kampus MADANI 2025 Terengganu ke pusat penyelidikan semula jadi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di pulau bersejarah itu.
Sebelum berangkat ke Pulau Bidong, Dr Zambry sempat meninjau Pameran Pusat Latihan Pelayaran UMT di Jeti Duyong Marina Resort, yang menampilkan kemudahan teknikal dan latihan pelayaran.
Beliau turut melawat UMT-Community Sailing Club House, yang berperanan melatih pelajar dan komuniti dalam aktiviti pelayaran.
Menurut hantaran di Facebook beliau, perjalanan ke Pulau Bidong mengambil masa kira-kira 45 minit menaiki bot, membawa delegasi ke sebuah pulau yang pernah menjadi penempatan pelarian Vietnam dari tahun 1978 hingga awal 1990-an.
Kini, katanya, pulau itu diwartakan sebagai Pusat Penyelidikan UMT sejak 2009 yang berfungsi sebagai makmal semula jadi untuk kajian maritim, biodiversiti dan arkeologi marin.
“Di sinilah pelbagai disiplin penyelidikan dijalankan daripada kajian terumbu karang dan ekosistem laut, ekskavasi artifak marin, kajian plankton, hingga pemetaan geologi pantai.
“Pulau Bidong juga menjadi pusat latihan kepada pelajar dan penyelidik dari dalam dan luar negara serta memainkan peranan penting dalam pemuliharaan sumber marin,” katanya.
Ketibaan delegasi KPT disambut meriah oleh pasukan penyelidik, sukarelawan dan pelajar UMT yang sedang melaksanakan aktiviti seperti ‘water confidence’, keselamatan air, berkayak, snorkeling, gotong-royong dan sesi taklimat penyelidikan.
Dalam lawatan tersebut, Dr Zambry turur berkesempatan meninjau projek penyelidikan yang sedang dijalankan dan menyatakan sokongan terhadap usaha UMT dalam memperkukuh penyelidikan marin negara.
“Lawatan ini membolehkan saya melihat secara langsung pencapaian UMT dalam memartabatkan penyelidikan marin negara, sekali gus menyokong usaha pemerkasaan ekonomi biru yang telah digariskan oleh Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13),” ujarnya.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail serta Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim.