Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Inisiatif Pusingan Kerja Petugas Kaunter yang melibatkan semua kementerian dan jabatan kerajaan dilaksana bermula hari ini bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di kaunter.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, inisiatif ini juga memastikan kepelbagaian kemahiran kerja serta memperkasa pengalaman pelanggan dengan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra.
“Melalui pusingan kerja ini, petugas kaunter akan diberikan pendedahan kepada pelbagai aspek tugas di kaunter, membolehkan mereka menangani pelbagai pertanyaan dan urusan pelanggan dengan lebih efisien.
“Langkah ini sejajar dengan matlamat reformasi perkhidmatan awam untuk mewujudkan sistem kerja yang lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, melalui program ini, petugas kaunter akan diberikan latihan berkala dan pemantauan berterusan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Pelaksanaan pusingan kerja ini melibatkan semua kementerian utama termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian
Sumber Manusia serta beberapa kementerian lain yang terlibat secara langsung dalam
penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Kerajaan yakin bahawa dengan pelaksanaan Pusingan Kerja Petugas Kaunter, perkhidmatan awam negara akan terus diperkukuh dan mampu memberikan pengalaman yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Baca juga:








