PUSPEN Karangan bawa revolusi pendidikan remaja

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) yang diperkenalkan oleh Menaik Taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan, Kedah bertujuan untuk meningkatkan pendidikan asas yang berteraskan 3M (membaca, menulis, mengira).

Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa usaha itu diperluaskan untuk golongan remaja yang berdepan dengan masalah keciciran pendidikan.

“PUSPEN Karangan kini mempunyai fasiliti yang terbaik untuk menjalankan Program PAPK kepada klien di bawah umur 18 tahun yang mula diperkenalkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak 2015.

“Objektif pelaksanaan PAPK adalah untuk memberi peluang kepada klien mengikuti semula sesi pembelajaran dan persekolahan di fasiliti AADK serta menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dengan kebersamaan sokongan akademik melalui konsep in situ,” katanya.

Beliau turut berkata, usaha ini dilakukan dengan kerjasama dua hala dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan memperkenalkan sistem sekolah integriti di AADK melalui kepakaran guru dari KPM.

Dipercayai bahawa program ini boleh menampung seramai 100 klien dalam satu masa sehingga kini.

“Sejak program PAPK diperkenalkan, pencapaian yang direkodkan menunjukkan peningkatan bagi calon memperoleh sijil kelulusan dalam peperiksaan tersebut.

“Pencapaian yang ditunjukkan oleh klien dalam SPM membolehkan mereka layak menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

“Klien yang terlibat dengan program PAPK bagi tahap SPM dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar sukarela terdiri daripada pensyarah politeknik dan guru sekolah menengah yang mengajar berhampiran PUSPEN ini,” tambahnya.

Pada tahun 2015, seramai 15 klien telah berjaya didaftarkan dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir tahun tersebut dan jumlah ini semakin bertambah setiap tahun.

Dengan inisiatif ini, program PAPK bukan sahaja memberikan pendidikan asas yang penting tetapi juga membuka peluang untuk masa depan yang lebih cerah bagi golongan remaja yang terlibat.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat