Putera Arab Saudi Meninggal Dunia Selepas 20 Tahun Koma

RIYADH: Putera Arab Saudi, Al-Waleed bin Khaled bin Talal Al Saud, yang berada dalam keadaan koma selama 20 tahun akibat kemalangan jalan raya tragik di London meninggal dunia pada usia 36 tahun.

Almarhum merupakan anak sulung kepada Putera Khaled bin Talal Al Saud. Beliau dikenali ramai sebagai “Putera Tidur” setelah koma sejak berusia 15 tahun, ketika mengikuti latihan ketenteraan di London.

Kemalangan yang berlaku telah menyebabkan kecederaan parah pada otaknya serta pendarahan dalaman. Meskipun menerima rawatan kecemasan segera, beliau tidak pernah sedar sepenuhnya selepas insiden itu.

Sejak itu, beliau dirawat di Pusat Perubatan King Abdulaziz dan bergantung sepenuhnya kepada alat sokongan hayat sehinggalah menghembuskan nafas terakhir.

Pemergiannya diumumkan oleh bapanya menerusi media sosial dengan ucapan penuh hiba:
“Dengan hati yang reda kepada kehendak dan takdir Allah, serta penuh kesedihan dan duka, kami meratapi pemergian anakanda tercinta: Putera Al-Waleed bin Khaled bin Talal bin Abdulaziz Al Saud. Semoga Allah merahmatinya.”

Almarhum menjadi simbol ketabahan keluarganya yang tidak pernah berputus asa menjaga dan mendoakan kesembuhannya selama dua dekad.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat