PUTERA Frederik dari Luxembourg mangkat pada usia 22 tahun setelah bertarung dengan penyakit genetik jarang ditemui, Mitokondria POLG.
Anak bongsu kepada Putera Robert dan Puteri Julie dari Nassau ini meninggal dunia di Paris pada 1 Mac lalu, sehari selepas Hari Kesedaran Antarabangsa untuk Penyakit Jarang Ditemui.
Kemangkatan Frederik disahkan melalui kenyataan di laman web Yayasan POLG yang ditubuhkannya pada tahun 2022.
“Satu cahaya telah padam, tetapi masih banyak yang tinggal,” kata bapanya.
Frederik menghidap penyakit POLG seawal usia 14 tahun yang menyebabkan pelbagai simptom dan kegagalan sistem organ yang sukar didiagnosis.
Gangguan mitokondria genetik itu menghilangkan tenaga sel tubuh sehingga menyebabkan kegagalan organ secara progresif.
Walaupun tiada rawatan atau penawar untuk penyakit ini, Yayasan POLG kekal komited mencari penawar dan terapi untuk membantu pesakit lain.
Frederik bersama yayasan tersebut terus berusaha membantu orang lain yang menderita penyakit itu.