MOSCOW: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan isu mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 ketika pertemuan dengan Presiden Russia Vladimir Putin hari ini.
Anwar berkata perkara itu dibangkitkan semasa rundingan dua hala beliau dengan Presiden Russia itu di Kremlin di sini sebagai mewakili keluarga mangsa yang terjejas akibat tragedi itu.
“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” katanya, memetik Berita Harian.
Terdahulu, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menemukan bahawa Russia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.
Mengikut laporan ICAO, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh oleh peluru berpandu Russia semasa terbang melintasi timur Ukraine, ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Perdana Menteri berkata Putin mendengar dengan meneliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Putin berkata sejak awal lagi Moscow memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti selain menegaskan bahawa Russia sedia memberikan kerjasama untuk memastikan laporan itu lebih berwibawa.
“Cuma yang saya dapat pastikan ialah beliau kata tidak benar kalau beliau tidak sedia untuk memberikan kerjasama tetapi beliau tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana badan yang beliau atau Russia anggap sebagai tidak bebas,” katanya.
Pada November 2022, Mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Russia dan seorang lelaki warga Ukraine secara ‘in absentia’ dengan kesalahan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu.
Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei dan beliau akan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei.
Baca juga: