ST PETERSBURG: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim disambut dalam diplomasi Diraja oleh Presiden Russia, Vladimir Putin, ketika berangkat ke Muzium Hermitage, St Petersburg.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim pada lewat Isnin, keberangkatan baginda ke muzium ikonik yang disenaraikan antara paling berprestij di dunia itu mencerminkan penghormatan tinggi kerajaan Russia terhadap hubungan persahabatan serta hubungan erat antara kedua-dua negara.
Difahamkan, Muzium Hermitage yang ditubuhkan pada 1755 merupakan antara muzium seni dan kebudayaan terbesar serta tertua di dunia, menempatkan lebih tiga juta koleksi karya seni dan artifak bersejarah dari pelbagai tamadun.
Dalam pada itu, Baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau sebahagian koleksi bersejarah dan karya seni bertaraf dunia yang dipamerkan di muzium berkenaan, dengan diiringi sendiri oleh Putin.
Lawatan khas julung kali Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg itu diadakan atas jemputan Presiden Putin, sekali gus melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemangkin dan pemacu diplomasi negara di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, pada Ogos tahun lalu Sultan Ibrahim berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Moscow, sekali gus mencatat sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama yang mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Russia sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1967.
Baginda juga berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan, pada tahun yang sama sebagai sebahagian daripada pengukuhan hubungan dua hala Malaysia–Rusia.
Baca juga:








