Putrajaya Tidak Jadi Lokasi Sidang ASEAN, Kekangan Logistik Dan Penginapan – PM

PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kekangan logistik dan kapasiti penginapan menjadi faktor utama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tidak diadakan di Putrajaya, meskipun pusat pentadbiran negara itu memiliki kemudahan dewan yang memuaskan.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat, Anwar berkata, keperluan penginapan bagi delegasi antarabangsa yang besar seperti dari China dan Amerika Syarikat tidak dapat dipenuhi sepenuhnya di Putrajaya.

“Logistik tidak cukup. Dewan memang baik tetapi kemudahan hotel tidak memadai untuk keperluan beberapa negara seperti China atau Amerika Syarikat.

“Jika mereka hadir, mereka akan ambil satu hotel bukan tiga lantai, jadi untuk dua itu sahaja sudah jadi dua hotel,” katanya.

Terdahulu, timbul persoalan mengapa sidang berprestij itu tidak dianjurkan di Putrajaya.

Menurut Anwar, keputusan menempatkan sidang di lokasi lain dibuat selepas mengambil kira kesesuaian logistik dan keselesaan delegasi luar negara yang menjadi keutamaan dalam penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa persiapan rapi oleh pelbagai agensi kerajaan akan memastikan kelancaran sidang yang dijadual berlangsung hujung minggu ini.

Dalam masa sama, Anwar menghargai komitmen semua petugas dan kementerian yang bekerja keras menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal menyaksikan kehadiran pemimpin dunia dan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11.

Anda Mungkin Berminat