PETALING JAYA: Malam ini, pentas Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2025 bakal bergema dengan lantunan ayat suci al-Quran oleh qari kebanggaan negara, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, yang mewakili Malaysia di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Anak jati Perak itu dijadual tampil bersama peserta dari pelbagai negara termasuk Singapura, Indonesia, Mesir, Sri Lanka dan Senegal, dalam sesi persembahan yang dinanti-nantikan malam ini.
Majlis berprestij anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini telah bermula sejak 2 Ogos dan akan melabuhkan tirainya pada 9 Ogos, menghimpunkan qari dan qariah terbaik dari seluruh dunia dalam usaha memperkukuh hubungan ummah melalui al-Quran.
“MTHQA merupakan majlis yang berimpak tinggi dengan objektif menggalakkan interaksi dengan al-Quran untuk dibaca dan dihayati,” kata Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee.
Beliau berkata, lebih daripada sekadar pertandingan, MTHQA menjadi pentas global yang memperlihatkan mutu bacaan dan hafazan al-Quran serta menyemai semangat ukhuwah dan perpaduan sesama peserta dari pelbagai latar budaya dan bangsa.








