Qatar, Arab Saudi Tuan Rumah Pusingan Keempat Kelayakan Piala Dunia Oktober Ini

PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) secara rasmi mengesahkan bahawa Qatar dan Arab Saudi akan menjadi tuan rumah bagi pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 14 Oktober 2025.

Kejohanan penting itu akan menyaksikan Indonesia, Arab Saudi, Iraq, Oman, Qatar dan UAE bersaing dalam dua kumpulan dengan hanya juara setiap kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia.

Manakala, naib juara akan berdepan dalam perlawanan ‘playoff’ pada 13 dan 18 November bagi merebut satu lagi tempat.

“Kami mahu memastikan peringkat kelayakan ini berjalan lancar dan memberi peluang terbaik kepada pasukan bertanding,” menurut kenyataan rasmi AFC.

Pemilihan Qatar dan Arab Saudi sebagai tuan rumah mencetuskan reaksi pelbagai dengan beberapa negara termasuk Iraq dan UAE menyuarakan kebimbangan mengenai ketelusan pemilihan.

Mereka berpendapat bahawa kedua-dua negara beroleh kelebihan kerana bertanding dalam pusingan keempat.

Namun, AFC mempertahankan keputusan tersebut dengan menyatakan bahawa kedua-dua venue menawarkan fasiliti terbaik serta pengalaman penganjuran peringkat tinggi.

Undian rasmi bagi pusingan keempat dijadual berlangsung pada 17 Julai 2025 di Umeda Arts Theater, Osaka, Jepun.

Setiap pasukan akan bertanding dalam format ’round-robin’ satu pusingan dengan dua perlawanan dalam kumpulan masing-masing.

Keputusan ini menjanjikan persaingan sengit terutamanya buat pasukan seperti Indonesia dan Oman yang bakal berdepan cabaran besar dalam usaha merebut tiket ke Piala Dunia.

Anda Mungkin Berminat