Oleh: Tyah Helmi
DOHA: Kerajaan Qatar giat memindahkan sementara penduduk yang menetap berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Doha sebagai langkah pencegahan susulan situasi keselamatan serantau yang semakin tegang.
Kementerian Dalam Negeri Qatar dalam kenyataan di platform X memaklumkan, tindakan itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan kedutaan AS untuk lebih berjaga-jaga buat sementara waktu.
“Penempatan yang bersesuaian turut disediakan kepada penduduk terlibat sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan yang perlu,” menurut kementerian itu lagi.
Langkah berkenaan diambil ketika beberapa perwakilan diplomatik AS di rantau Teluk itu dilaporkan menjadi sasaran serangan dron minggu ini.
Antara yang terlibat ialah kedutaan AS di Arab Saudi, Kedutaan AS di Kuwait serta Konsulat AS di Dubai
Perkembangan itu berlaku ketika Iran didakwa meningkatkan serangan terhadap beberapa negara jirannya di Teluk, termasuk menyasarkan kemudahan ketenteraan dan diplomatik milik AS
Setakat ini, pihak berkuasa Qatar tidak melaporkan sebarang insiden keselamatan di Doha dan pemantauan rapi terus dijalankan dari semasa ke semasa.
Baca juga:








