Oleh: Aliyaa Azmi
KUMPULAN nasyid tersohor Rabbani bakal menghidupkan malam berjiwa perjuangan menerusi Konsert Intifada yang akan berlangsung pada 20 September 2025, di Idea Live Arena, Petaling Jaya, bermula pukul 8.30 malam.
Lebih daripada sekadar hiburan, konsert itu nanti menampilkan lebih 10 lagu popular Rabbani yang pernah mengangkat nama kumpulan itu ke persada muzik tanah air, disulam dengan emosi, nilai perjuangan dan pengorbanan.
Anggota Rabbani, Azadan Abdurahman, menjelaskan bahawa konsert kali ini turut diserikan dengan segmen khas dinamakan Segmen Jiwa.
“Kita akan menyampaikan lebih daripada 10 lagu-lagu popular. Dan untuk konsep persembahan, kita ada segmen ‘jiwa’ yang membawa elemen dramatik daripada lagu-lagu pilihan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Antara lagu yang dijangka menyentuh hati penonton ialah ‘Hazara’, sebuah karya yang menggambarkan keberanian sahabat Nabi menyahut seruan perjuangan meskipun di malam pertama perkahwinannya.
“Segmen ini bukan sekadar hiburan tetapi membawa pengisian mendalam tentang semangat, ujian hidup dan nilai pengorbanan,” jelas Azadan.
Konsert turut menampilkan kumpulan Brothers sebagai pelengkap harmoni serta Yabang dan Aeydan sebagai artis jemputan.
Tiket konsert akan mula dijual pada 31 Julai pukul 10 pagi menerusi Ticket2U dan Fantopia.io dengan harga bermula serendah RM150.