KUCHING: Wabak rabies terus meragut nyawa di Sarawak apabila dua lagi kes baharu dilaporkan melibatkan kematian pada 19 September lalu, menurut pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.
Kes pertama membabitkan seorang wanita berusia 22 tahun dari Petra Jaya yang dicakar kucing terbiar pada Julai.
Mangsa tidak mendapatkan rawatan segera dan mula menunjukkan gejala rabies sebelum meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak.
Kes kedua pula melibatkan seorang suri rumah berusia 67 tahun dari Batu Kawa yang digigit anjing terbiar pada Ogos.
Beliau meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan di hospital.
Dengan pertambahan ini, jumlah kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 kini mencecah 87 kes, dengan 80 kematian menjadikan kadar kematian setinggi 92 peratus.
“Rabies masih menjadi ancaman serius. Orang ramai dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan jika digigit atau dicakar haiwan, selain memastikan haiwan peliharaan divaksin setiap tahun,” kata JKN Sarawak dalam satu kenyataan.
Statistik menunjukkan sebanyak 13,894 kes gigitan haiwan direkodkan di Sarawak antara 1 Januari hingga 13 September tahun ini.
Daripada jumlah itu, 59.7 peratus melibatkan kucing dan 39 peratus melibatkan anjing.
JKN Sarawak turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengendalikan bangkai haiwan tanpa membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.
Wabak rabies mula dikesan di Sarawak pada Julai 2017.
Sejak itu, pelbagai kempen vaksinasi haiwan dan program kesedaran awam telah digiatkan.
Namun, kelewatan mendapatkan rawatan selepas digigit atau dicakar haiwan terus menjadi punca utama kematian.