Rafizi Bidas Pembangkang, Sokong Kerjasama Pembangunan Ambalat

PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan sokongan terhadap Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) di Blok Ambalat antara Malaysia dan Indonesia dengan penekanan agar kepentingan Sabah sentiasa dijamin dalam rundingan tersebut.

Menurut Rafizi, pendekatan pembangunan bersama itu pernah terbukti berkesan dalam menangani tuntutan bertindih Malaysia-Thailand pada 1970-an menerusi penubuhan Malaysia-Thailand Joint Development Authority (MTJDA).

“Melalui MTJDA, wakil Malaysia dan Thailand diwakili secara sama rata dan kontrak eksplorasi diberikan kepada PETRONAS serta PTTEP.

“Kini, sekitar 30 peratus bekalan gas ke Semenanjung datang dari kawasan itu.

“Kalau tidak ada kerjasama sebegini, keperluan gas terpaksa diimport dengan kos yang tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Rafizi turut mendedahkan bahawa cadangan pembangunan bersama di Blok Ambalat sudah dibincangkan ketika beliau masih dalam Kabinet yang menunjukkan kesinambungan usaha dalam meneroka potensi kawasan maritim tersebut.

Beliau turut menekankan keperluan rundingan serentak antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Indonesia dan Kerajaan Sabah agar rakyat negeri itu tidak ketinggalan dalam menikmati hasil minyak dan gas dari Ambalat.

“Kalau projek ini tergendala akibat mainan politik, negara akan terus kehilangan berbilion ringgit hasil minyak setiap tahun, sedangkan hasil petroleum kita makin berkurang,” katanya.

Perjanjian JDA Ambalat diumumkan selepas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Jakarta.

Kedua-dua pemimpin berikrar mempercepatkan kerjasama pembangunan secara damai dan menguntungkan di kawasan sempadan maritim.

Bagaimanapun, perjanjian itu mendapat kritikan daripada pihak pembangkang yang menyifatkan ia tergesa-gesa dan berisiko menjejaskan kedaulatan negara.

Mengulas dakwaan tersebut, Rafizi menyeru agar sebarang kritikan dibuat secara berhemah dan berasaskan fakta.

“Kita boleh membangkang tetapi biarlah selepas meneliti keseluruhan merit kes. Jangan hentam ikut emosi,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat